Abstrak
Budaya keselamatan pesakit merupakan elemen penting dalam kualiti penjagaan kesihatan kerana ia mempengaruhi hasil klinikal dan kesejahteraan pesakit. Penilaian tahap amalan, kesedaran, pengetahuan dan sikap anggota kesihatan terhadap keselamatan pesakit adalah penting untuk memupuk budaya keselamatan yang kukuh. Memastikan instrumen pengukuran adalah sah dan boleh dipercayai adalah penting untuk mendapatkan data yang tepat dan berguna. Kajian ini memberi tumpuan kepada pengesahan soal selidik baru yang dibangunkan untuk menilai budaya keselamatan pesakit merentasi dimensi utama ini dan menyediakan alat piawai bagi menilai dan menambah baik amalan keselamatan dalam persekitaran penjagaan kesihatan. Pembangunan domain dan item telah dikenal pasti dan dirumuskan melalui kajian literatur secara sistematik. Pengesahan kandungan dilakukan oleh pakar-pakar, yang mendapati indeks kesahan kandungan (CVI) yang baik ialah relevan (0.988), kesederhanaan (1.000), kejelasan (0.914) dan kekaburan (0.901). Indeks kesahan muka (FVI) ialah 0.802 berdasarakan maklum balas pegawai perubatan. Nilai kappa yang diubahsuai menunjukkan julat nilai dari 0.52 hingga 1. Soal selidik yang dimuktamadkan telah diedarkan kepada 124 pegawai perubatan . Ujian sfera Bartlett menunjukkan keputusan yang sangat signifikan (p < 0.001), mengesahkan kesesuaian data untuk analisis faktor, manakal ukuran kecukupan sampel untuk semua konstruk yang diukur melebihi 0.6, memenuhi ambang yang diperlukan. Analisis faktor penerokaan (EFA) menunjukkan item yang dikekalkan mempunyai muatan faktor melebihi 0.6, menunjukkan kesesuaian mereka untuk mengukur konstruk. Instrumen ini juga mencapai nilai alpha Cronbach yang lebih besar daripada 0.8, menunjukkan konsistensi dalaman yang sangat baik. Secara keseluruhannya, penilaian EFA dan kebolehpercayaan mengesahkan keteguhan soal selidik yang dibangunkan. Keputusan ini memberikan gambaran baik tentang kebolehpercayaan dan keberkesanan instrumen untuk menilai budaya keselamatan pesakit merangkumi amalan, kesedaran, pengetahuan dan sikap dalam kalangan anggota penjagaan kesihatan. Soal selidik yang telah disahkan boleh digunakan sebagai piawai untuk menilai dan meningkatkan budaya keselamatan pesakit dalam persekitaran penjagaan kesihatan, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti penjagaan dan keselamatan pesakit.
Kata Kunci :
Analisis faktor; budaya keselamatan pesakit; kesedaran keselamatan pesakit; pengetahuan keselamatan pesakit; sikap keselamatan pesakit,