Abstrak
Isu medikolegal dalam penjagaan kesihatan semakin meningkat di seluruh dunia. Ini didorong oleh peningkatan kesedaran dalam kalangan pesakit, harapan yang lebih tinggi kepada sistem perubatan serta akses yang lebih mudah kepada sokongan perundangan. Memahami punca utama masalah ini penting bagi meningkatkan keselamatan pesakit dan meminimumkan risiko perundangan. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada isu medikolegal dalam penjagaan kesihatan. Kajian ini dilaksanakan berdasarkan rangka kerja lima peringkat Arksey dan O’Malley serta mematuhi garis panduan "Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta-Analyses Extension for Scoping Reviews". Carian literatur dijalankan melalui pangkalan data PubMed, EBSCOhost, Scopus dan Web of Science yang merangkumi penerbitan dari Januari 2018 hingga April 2024. Artikel disaring berdasarkan kriteria inklusi dan eksklusi yang ditetapkan. Data yang berkaitan diekstrak serta dianalisis secara tematik. Daripada 360 artikel yang diperolehi hanya 45 artikel memenuhi kriteria kelayakan. Faktor penyebab tuntutan medicolegal yang banyak dilaporkan ialah kesilapan dan kelewatan dalam membuat ujian diagnostik (48.9%), kegagalan komunikasi (48.9%), kesilapan prosedur (40%), kegagalan membuat keputusan dan pertimbangan klinikal (31%) serta komplikasi rawatan (24%). Faktor penyumbang lain termasuk persetujuan bermaklumat yang tidak mencukupi, kegagalan pada peringkat sistem serta ketidakpatuhan terhadap protokol serta faktor berkaitan pesakit sendiri. Menangani cabaran ini memerlukan pendekatan pelbagai dimensi dan peringkat yang merangkumi latihan klinikal, komunikasi berkesan, amalan dokumentasi yang piawai, penjagaan berfokuskan pesakit dan reformasi di peringkat sistem. Penemuan ini memberikan panduan penting dalam usaha mengurangkan risiko medikolegal dan meningkatkan kualiti serta keselamatan penjagaan kesihatan.
Kata Kunci :
Faktor penyumbang; isu medikolegal; litigasi penjagaan kesihatan; salah laku perubatan,