Abstrak
Banjir di Malaysia memberi kesan kepada 22% daripada populasi dan melibatkan kawasan seluas 29,800 km2. Perubatan bencana memainkan peranan penting dalam menghadapi bencana banjir dan secara langsung melibatkan petugas kesihatan sektor kecemasan. Pelan kesiapsiagaan perlu melibatkan petugas kesihatan kecemasan dan kakitangan pentadbiran. Kajian ini menilai tahap pengetahuan, sikap dan amalan petugas kesihatan kecemasan terhadap kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana banjir di Malaysia. Kajian pemerhatian hirisan lintang ini dijalankan dari Januari sehingga Disember 2023 dengan menggunakan soal selidik FloodDMQ-BM 2.0 yang telah disahkan untuk menilai tahap kesiapsiagaan petugas kesihatan kecemasan di 25 hospital kerajaan tertiari. Kumpulan sasaran terdiri daripada petugas kesihatan kecemasan yang memberikan persetujuan untuk turut serta dalam kajian ini. Daripada 496 peserta, seramai 434 telah diterima dalam kajian. Pembahagian sampel hampir seimbang dari segi jantina (50.5% lelaki, 49.5% wanita). Kebanyakan peserta mempunyai tahap pengetahuan yang rendah (73%), sikap yang sederhana (63.1%) dan amalan yang rendah (66.6%) terhadap kesiapsiagaan menghadapi banjir. Analisis multivariat mendapati pengetahuan dipengaruhi oleh faktor umur dan negeri tempat tinggal; sikap dipengaruhi oleh faktor umur; manakala amalan dipengaruhi oleh faktor jantina, pengalaman serta penglibatan dalam latihan simulasi. Terdapat korelasi yang positif antara tahap pengetahuan, sikap dan amalan. Petugas kesihatan kecemasan di Malaysia menunjukkan kesiapsiagaan yang tidak memuaskan terhadap bencana banjir, dengan tahap pengetahuan yang rendah, sikap yang sederhana dan amalan yang rendah. Faktor-faktor yang mempengaruhi tahap kesiapsiagaan termasuk umur, jantina, negeri dan pengalaman. Latihan yang bersasar perlu dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan tindak balas petugas kesihatan semasa menghadapi bencana banjir.
Kata Kunci :
Bencana; kecemasan; petugas kesihatan,