Abstrak
Rhizoclonium riparium (Roth) Harvey merupakan sejenis alga hijau air tawar yang telah digunakan secara tradisional dalam pelbagai budaya kerana dipercayai mempunyai khasiat perubatannya. Walaupun alga ini mempunyai pelbagai potensi manfaat terapeutik, pengetahuan saintifik mengenainya masih terhad. Kajian ini meneliti aspek etnobotani dan etnofarmakologi R. riparium dengan tujuan menjelaskan kegunaan tradisionalnya serta mengenal pasti kandungan fitokimia yang bertanggungjawab terhadap potensi terapeutiknya. Pencarian literatur secara kritikal telah dijalankan menggunakan pelbagai pangkalan data saintifik elektronik seperti SCOPUS, PubMed dan EBSCOhost, serta sumber tambahan termasuk Google Scholar dan ScienceDirect bagi artikel berkaitan yang diterbitkan dari tahun 2006 hingga 2025. Carian awal mengenal pasti sejumlah 1,409 artikel yang relevan. Melalui proses pemilihan yang teliti, hanya 12 artikel dipilih kerana memenuhi semua kriteria kemasukan yang ditetapkan. Kesemua kajian tersebut melaporkan kesan positif sederhana hingga ketara terhadap sifat etnoperubatan R. riparium. Ujian kimia in vitro menunjukkan aktiviti antimikrob, antikulat, anti-radang, antioksidan dan antimutagenik yang signifikan. Analisis fitokimia pula mendedahkan kehadiran pelbagai metabolit sekunder, termasuk sebatian fenolik, flavonoid, alkaloid, terpenoid dan polisakarida yang diketahui mempunyai aktiviti farmakologi. Memandangkan alga ini banyak terdapat di rantau Asia-Pasifik dan mengandungi fitokimia berpotensi tinggi seperti flavonoid, polisakarida, fenol dan karotenoid, ia berpotensi untuk dimanfaatkan dalam pembangunan ubat-ubatan baharu pada masa hadapan. Ulasan skop ini menyoroti kesan etnobotani dan etnofarmakologi ekstrak R. riparium serta hubung kaitnya dengan kandungan fitokimia yang terkandung di dalamnya.
Kata Kunci :
Etnoperubatan; etnofarmakologi; fitokimia; Rhizoclonium riparium,