Abstrak
Perkembangan kematangan remaja dipengaruhi oleh perubahan fizikal, kognitif dan tingkah laku. Perubahan ini menyebabkan remaja berisiko mengalami kesulitan dalam menyesuaikan diri dan berpotensi untuk mencetuskan masalah kesihatan mental. Satu kajian keratan rentas perbandingan tahap kesihatan mental antara remaja migran di Malaysia (migran) dan remaja Indonesia di negara asal (non-migran) telah dijalankan pada tahun 2023 menggunakan teknik pengambilan sampel berlapis dengan nisbah 3:1. Analisis bivariat menggunakan analisis regresi logistik binari mudah dan analisis multivariat regresi logistik binari kaedah 'backward stepwise' telah dilakukan ke atas semua pemboleh ubah signifikan yang ditemui dalam analisis bivariat. Kajian ni bertujuan untuk menilai hubungan antara pemboleh ubah tidak bersandar dan pembolehubah bersandar iaitu kesihatan mental bagi setiap kumpulan (migran dan non-migran). Borang soal selidik yang telah disahkan dan diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia telah digunakan, yang merangkumi ciri-ciri responden, soal selidik kekuatan dan kesukaran (SDQ), tingkah laku risiko kesihatan, keyakinan diri, sokongan ibu bapa dan rakan sebaya serta hubungan sosial diedarkan di sekolah terpilih. Kajian ini melibatkan penyertaan seramai 191 remaja dari Indonesia (non-migran) dan 79 migran remaja Indonesia dari Malaysia (migran). Hasil kajian bagi remaja bukan migran mendapati hubungan yang bererti (p < 0.05) untuk (i) domain emosi SDQ bagi perempuan (AdjOR: 0.30; 95% CI: 0.16-0.57), (ii) domain masalah tingkah laku bagi perempuan (AdjOR: 0.94; 95% CI: 0.90-0.98), (iii) domain masalah rakan sebaya bagi remaja perempuan (AdjOR: 1.98; 95% CI: 1.02-3.83) dan (iv) domain kesukaran bagi remaja perempuan (AdjOR: 0.44; 95% CI: 0.20-0.93), bukan agama Islam (AdjOR: 15.96; 95% CI: 1.12-212.37) serta keganasan (AdjOR: 0.35; 95% CI: 0.14-0.91). Manakala, bagi remaja migran (migran), faktor hubungan bererti ialah (i) domain masalah tingkah laku dengan sokongan rakan sebaya (AdjOR: 2.90; 95% CI: 1.12-7.1), (ii) domain hiperaktif dengan sokongan rakan sebaya (AdjOR: 2.91; 95% CI: 1.30-6.54), interaksi sosial (AdjOR: 7.13; 95% CI: 2.41-21.07) dan (iii) domain kekuatan dengan remaja perempuan (AdjOR: 2.28; 95% CI: 1.05-4.93). Perancangan strategi berasaskan hasil yang berkesan dalam pembentukan intervensi yang lebih inklusif dan sensitif dari segi budaya dapat menyokong kesihatan mental remaja bagi kedua-dua kumpulan.
Kata Kunci :
Immigran; kesihatan mental; masalah perilaku remaja,