Abstrak
Methaemoglobin merupakan keadaan yang jarang berlaku yang mengganggu pengangkutan oksigen dengan menukarkan hemoglobin kepada bentuk yang tidak berfungsi. Pengenalpastian secara klinikal boleh tertangguh disebabkan spektrum gejala luas dan tidak ketara serta kekangan alat pemantauan konvensional. Seorang lelaki berusia 36 tahun mengalami sesak nafas akut selepas pengambilan antibiotik untuk merawat demam dan cirit-birit. Walaupun menerima terapi oksigen aliran tinggi, ketepuan oksigennya kekal rendah. Darah arteri kelihatan berwarna coklat gelap, mencetuskan syak terhadap ketepuan methemoglobin dalam darah, yang kemudiannya disahkan melalui bacaan ko-oksimetri dengan paras methaemoglobin sebanyak 19.6–24.0%. Pesakit juga menunjukkan tanda hemolisis oksidatif dan anemia teruk, walaupun ujian saringan glukosa-6-fosfat dehidrogenase adalah normal. Rawatan dengan metilena biru telah diberikan tetapi tidak menunjukkan kesan terapeutik lalu dihentikan. Rawatan sokongan serta antibiotik intravena diberikan bagi menangani stres oksidatif yang disyaki berpunca daripada jangkitan kuman. Pesakit beransur pulih dan didiscaj selepas 16 hari dengan gangguan fungsi buah pinggang yang masih berbaki akibat sepsis. Laporan kes ini menggambarkan cabaran diagnostik dalam mengendalikan kes methemoglobin, terutamanya tanpa ketiadaan tanda klasik seperti sianosis. Percanggahan antara bacaan oksimetri nadi dan ketepuan oksigen arteri ialah petunjuk penting dan seharusnya dititikberatkan. Kesedaran terhadap faktor penyumbang serta tafsiran keputusan makmal yang teliti adalah penting bagi memastikan rawatan yang selamat dan berkesan.
Kata Kunci :
Anemia; ko-oksimetri; glukosa-6-fosfat dehidrogenase; laporan kes; methaemoglobina; metilena biru; sepsis,