Abstrak
Kemurungan dan kebimbangan ialah gangguan kesihatan mental yang biasa berlaku dan boleh menjejaskan individu merentasi semua peringkat umur, termasuk remaja. Keadaan ini memberi kesan mendalam terhadap pelbagai aspek kehidupan mereka. Laporan kes ini menekankan keberkesanan terapi dulang pasir (sand tray therapy, STT) sebagai kaedah rawatan kaunseling dalam pengurusan gangguan emosi dalam kalangan remaja di penjagaan primer. Laporan ini memaparkan kes seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang mempunyai sejarah kemurungan dan kebimbangan selama setahun disebabkan oleh isu perpisahan ibu bapa, cabaran persekolahan dan tekanan psikososial. Beliau didiagnosis mengalami gangguan kebimbangan umum dan gangguan kemurungan utama dan diberikan ubatan sertraline, pendidikan psikologi dan STT, di samping sesi psikoterapi keluarga. Melalui STT, beliau dapat meluahkan kebimbangan paling dalam dan menemui cara untuk mengatasi emosi tersebut. Menjelang penghujung rawatan STT, beliau menunjukkan peningkatan yang ketara; mula melakukan semula hobinya, menikmati suasana sekolah serta lebih rapat dengan ahli keluarga. Kes ini menekankan kepentingan pendekatan terapeutik multimodal dalam kaunseling, khususnya STT bagi remaja yang mengalami gangguan emosi. Intervensi awal mampu mencegah komplikasi jangka panjang yang serius serta menyokong perkembangan remaja yang lebih sihat.
Kata Kunci :
Kaunseling; kebimbangan; kemurungan,